Ahad, 8 Januari 2012

Kerjasama PAS dan DAP adalah satu "kemestian politik"

Shahnon Ahmad saya rasa jarang sekali ditemuramah oleh akhbar arus perdana pro-UMNO. Oleh itu, apabila tersiar temuramah Shahnon dengan Berita Minggu hari ini, 8/1/2012, nampak benar pendapat Shahnon yang disiarkan dalam akhbar itu ialah pendapat yang selari dengan selera UMNO.

Dalam temuramah itu, Shahnon menyifatkan kerjasama PAS dengan DAP dalam gabungan pembangkang bercanggah dengan amalan politik Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Kata beliau, Rasulullah tidak pernah bekerjasama dengan kaum Musyrikin Madinah, sebaliknya hanya mengikat kata sepakat melalui Perjanjian Hudaibiyah.

Oleh itu, dasar PAS sekarang langsung tak sama dengan amalan politik Rasulullah SAW bersama sahabatnya ketika membentuk Madinah.

Dan dengan itu, Shahnon menolak kerjasama antara PAS dengan DAP kerana ia tidak sama dengan pendekatan politik yang diambil oleh Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, saya rasa Shahnon keliru, kerana politik adalah urusan dunia, bukan urusan ibadat khusus. Dalam urusan dunia, Rasulullah membolehkan umatnya mengambil tindakan apa saja, selagi tidak bercanggah dengan syariat, kerana dalam urusan dunia, merekalah yang lebih tahu.

Oleh itu, sebagaimana yang kita tahu, selepas berakhirnya zaman khalifah berempat, umat Islam mengamalkan sistem "politik beraja", di mana penggantian pemerintah dipilih mengikut dinasti. Ini tidak diamalkan oleh Rasulullah, tapi boleh diterima oleh ulama selepas beliau, dan terus diamalkan oleh beberapa negara Islam sehingga kini.

Di Malaysia kini kita mengamalkan sistem politik demokrasi, di mana pemerintah dipilih oleh rakyat, di samping mengekalkan raja berperlembagaan. Mengapa hal ini tidak dikatakan oleh Shahnon sebagai tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW?

Bagaimanapun, yang lebih penting saya kira, kita mesti menerima realiti dan hakikat bahawa kita tinggal dalam sebuah masyarakat plural, di mana berkongsi kuasa itu sudah menjadi satu "kemestian politik".

Secara lebih khusus, PAS mesti bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP, jika ia ingin menawan Putrajaya dan menjadi pemerintah pada peringkat Pusat. Ini sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO, yang juga bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan parti bukan Islam.

Jadi dalam konteks semasa, sama ada mengikut ajaran Rasulullah SAW atau tidak, PAS tidak mempunyai pilihan lain, malah adalah satu kemestian, untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP.

Kebetulan sebagaimana yang saya katakan di atas tadi, dalam urusan politik yang merupakan urusan dunia seperti ini, Rasululllah membolehkan umatnya melakukan apa saja yang terbaik bagi mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan