Khamis, 16 Februari 2012

Apakah yang hendak dihebohkan sangat tentang isu murtad?



Hasan Ali nampaknya masih menjaja cerita tentang mubaligh Kristian yang katanya memakai jubah dan bersembahyang zohor bersama-sama dengan orang Islam sebagai taktik untuk mendekati orang Islam.


Walaupun hal itu tidak mustahil berlaku, tetapi jika benar berlaku, ia mungkin merupakan kes terpencil saja.


Takkanlah mubaligh Kristian itu boleh melakukan taktik itu secara berterusan dan berleluasa. Jemaah masjid tentu akan tahu dan akan menghambat mubaligh Kristian itu.


Jadi saya tak fikir hal itu merupakan hal yang penting dan menarik untuk dijaja berulang kali.


Lagipun tak ada apa-apa keuntungan besar yang akan diperoleh oleh orang Kristian jika mereka dapat memurtadkan orang Islam.


Saya fikir mereka pun banyak kerja lain yang perlu dan boleh dibuat selain daripada memurtadkan orang Islam.


Apakah yang hendak dihebohkan sangat tentang isu murtad ni?

Selasa, 7 Februari 2012

Pemuda PAS ingin menjuarai kempen anti Hari Kekasih?



Mungkin tidak ada salahnya Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz mendesak kerajaan menjuarai kempen anti Hari Kekasih dengan alasan ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral, di samping kononnya ada elemen Kristian.


Akan tetapi, saya kira kerajaan mempunyai banyak tugas lain yang lebih penting, dan tidak perlulah menjuarai kempen anti Hari Kekasih tersebut.


Soal moral sepatutnya boleh diselesaikan atau diatasi oleh umat Islam sendiri, dan tak perlulah sehingga dikempenkan oleh pihak kerajaan.


Lagipun sekiranya Pemuda PAS ingin memperjuangkan isu moral, saya kira banyak lagi isu moral lain yang lebih penting. Saya tidak fikir Hari Kekasih ini merupakan isu moral yang terlalu penting.


Bagi Pemuda PAS pula tidak adakah isu awam dan isu negara yang lebih penting untuk ditimbulkan dan diperjuangkan?


Isu Hari Kekasih saya kira hanya isu kecil dan remeh, dan mungkin tidak perlu jadi agenda perjuangan parti besar seperti PAS.