Sabtu, 7 November 2009

Pemimpin muslimat menyokong bai'ah: manifestasi minda yang terjajah?

Kadang-kadang saya rasa tak percaya bagaimana seorang ADUN atau seorang Ahli Parlimen PAS sanggup melafazkan bai'ah atau sumpah bahawa dia akan tercerai dengan isterinya dengan talak tiga, sekiranya dia berhenti atau keluar dari parti politik tersbut.

Yang anehnya bai'ah itu dikatakan disediakan oleh Dewan Ulama PAS.

Akan tetapi, agaknya itulah yang terjadi apabila PAS mencampuradukkan agama dengan politik, dan memperalatkan agama demi kepentingan politik.

Jadi dalam hal ini isteri dan perkahwinan diperalatkan dan diperjudikan untuk kepentingan politik. Adakah itu satu perbuatan yang mulia, yang sesuai dilakukan oleh sebuah parti politik yang bernama parti Islam?

Bagaimanapun, yang lebih pelik lagi ialah pemimpin Dewan Muslimat PAS mempertahankan bai'ah yang jelas merendahkan dan menghina wanita dan perkahwinan itu.

Kata Nuridah Md.Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS, bai'yah itu diadakan demi memperteguhkan parti. Ikrar itu dikatakan satu istiqamah terhadap parti. "Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti...sama kasihnya," katanya.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Mumtaz Md.Nawi pula menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat PAS lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

Kata beliau,"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji.Apa pula pelik.Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak.Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah."

Kata beliau seterusnya, semua wakil rakyat PAS memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah itu dilakukan oleh parti.

Betulkah mereka memahami Islam? Begitukah Islam yang difahami oleh wakil rakyat PAS? Entahlah.

Hal yang aneh dan tak logik ini agaknya tak perlu diberi ulasan terlalu panjang.

Cukuplah saya katakan bahawa pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin Dewan Muslimat PAS itu adalah menggambarkan minda wanita Islam yang masih terjajah, yang taat dan patuh membuta tuli kepada tindakan pemimpin lelaki PAS yang memperalatkan agama dan juga kaum wanita.

Mungkin tidak patut saya katakan mereka bodoh, tapi kalau tidak, apa yang patut saya katakan?

Isnin, 28 September 2009

Indonesia tak malu rakyatnya menjadi pendatang haram?

Kini penggunaan pembantu rumah agaknya sudah merupakan satu kemestian bagi keluarga kelas menengah dan sebahagian kelas pekerja di Malaysia. Mereka memerlukan pembantu rumah kerana sebahagian besar para isteri sudah bekerja di luar rumah.

Selama ini sumber pembantu rumah yang utama ialah Indonesia dan Filipina. Bagaimanapun, kebanyakan pembantu rumah dari Indonesia lebih menjadi pilihan, kerana gaji yang perlu dibayar kepada mereka lebih murah berbanding dengan gaji untuk pembantu rumah dari Filipina.

Kini usaha membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia menghadapi masalah kerana negara itu "membekukan" penghantaran pembantu rumah secara legal ke Malaysia dan meminta majikan di Malaysia membayar gaji yang lebih tinggi, iaitu minimum RM800 sebulan.

Walaupun Indonesia bertindak demikian untuk menjaga kepentingan rakyatnya, tapi tindakan itu sebenarnya tidak wajar kerana kaum wanita Indonesia yang sangat memerlukan pekerjaan akan datang juga ke Malaysia secara haram, dan pemerintah Indonesia tidak akan berupaya mencegahnya.

Sekarang pun pendatang haram Indonesia di Malaysia mungkin sudah lebih 2 juta orang. Semakin lama Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah secara legal, bererti akan bertambah ramai pula orang Indonesia yang akan memasuki Malaysia secara haram.

Saya tidak tahu adakah pemerintah Indonesia suka rakyatnya menjadi pendatang haram, yang jika sekali-kali kerajaan Malaysia bertindak, mereka akan ditangkap dan di kurung dan mungkin juga di rotan.

Sebenarnya adalah lebih bijaksana jika Indonesia membenarkan rakyatnya datang bekerja ke Malaysia sebagai pembantu rumah seperti pada masa yang lalu, walaupun gaji mereka tidak terlalu tinggi, dan dalam kemampuan majikan Malaysia untuk membayarnya.

Jika mereka datang sebagai pendatang haram dan bekerja secara haram, kebajikan pekerja Indonesia itu sebenarnya lebih tidak terjamin, kerana mereka lebih terdedah kepada eksploitasi majikan, di samping sewaktu-waktu menghadapi tindakan penangkapan dan pengusiran dari kerajaan Malaysia.

Jadi adalah untuk kepentingan bersama -- Indonesia dan Malaysia dan rakyat kedua-dua negara -- jika kemasukan pembantu rumah Indonesia itu "dicairkan" kembali.

Hanya negara yang tidak tahu malu barangkali yang membiarkan rakyatnya datang secara beramai-ramai sebagai pendatang haram untuk mencari makan di negara orang!

Jumaat, 18 September 2009

Perpaduan Melayu: serahkan kepada rakyat

Isu perpaduan Melayu nampaknya masih diperkatakan di blog-blog tertentu, walaupun formulanya tidak begitu jelas.

Kebanyakannya mencadangkan supaya PAS dan UMNO bersatu. Dengan perpaduan kedua-dua parti itu diandaikan kuasa politik Melayu akan kuat kembali.

Oleh kerana setakat ini pihak PAS tidak menunjukkan minat untuk berunding dan "bersatu" dengan UMNO, ada cadangan supaya raja-raja Melayu masuk campur dengan menitahkan pemimpin kedua-dua parti itu bertemu dan membincangkan perpaduan kedua-dua parti berkenaan.

Saya tidak pasti adakah cadangan seperti ini boleh dilaksanakan, kerana pada prinsipnya setahu saya raja-raja Melayu tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan politik.

Jika formula perpaduan Melayu itu belum begitu jelas, saya ingin mencadangkan supaya usaha mewujudkan perpaduan Melayu ini diserahkan kepada rakyat (khasnya orang Melayu), dan itu boleh dilakukan dalam pilihan raya yang akan datang.

Bagaimanakah caranya?

Majoriti orang Melayu mesti memberikan sokongan mereka kepada salah satu daripada dua parti Melayu yang terbesar itu.

Jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan mereka kepada UMNO, kita boleh mengharapkan UMNO akan kuat kembali dan boleh menjadi peneraju utama dalam BN seperti pada masa yang lalu.

Sebaliknya, jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan kepada PAS, bererti PAS akan menjadi parti yang terkuat dalam Pakatan Rakyat dan menjadi peneraju pakatan itu. Presiden PAS misalnya boleh menjadi PM, manakala pemimpin PAS yang lain memegang jawatan menteri kanan.

Adakah perkara seperti ini boleh berlaku? Kita serahkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya.

Rabu, 16 September 2009

Mengapa hukuman syariah dianggap kejam?

Di negara kita ada hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah. Ada juga hukuman sebat bagi kesalahan jenayah yang tertentu. Akan tetapi, kita tidak mendengar hukuman seperti itu dikatakan zalim dan kejam.

Bagaimanapun, apabila sebuah mahkamah syariah menjatuhkan hukuman sebat kepada seorang wanita yang tertangkap ketika meminum arak baru-baru ini, ada suara yang menuduh bahawa "hukum Islam" itu adalah keras dan kejam.

Dalam perkembangan terbaru, di Aceh dikatakan telah diluluskan undang-undang yang menjatuhkan hukuman mati (rejam sampai mati) kepada orang-orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan hukuman sebat sehingga 400 kali kepada orang yang melakukan beberapa kesalahan lain seperti rogol, meminum arak, seks homoseksual dan berjudi.

Ketua Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Kemanusiaan (Komnas HAM), Ifdhal Kasim dengan cepat mengeluarkan kenyataan bahawa hukum syariah itu adalah "kejam dan menghina manusia".

Mengapa timbul perbezaan sikap masyarakat terhadap hukuman yang berasaskan undang-undang sivil dan undang-undang syariah ini?

Mengapa hukuman berdasarkan undang-undang sivil, walaupun keras, tetapi tidak dianggap kejam, tetapi hukuman berdasarkan hukum syariah dianggap kejam pula?

Saya kira antara sebabnya ialah masyarakat sudah mempersepsikan dan mengharapkan hukuman syariah sepatutnya lebih lembut dan lebih berperikemanusiaan.

Kalau hukuman undang-undang syariah menetapkan hukuman rejam sampai mati kepada orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan orang yang melakukan kesalahan lain dirotan sampai 400 kali sebatan, tentulah masyarakat abad dua puluh satu ini mempersepsikannya sebagai kejam dan menghina.

Persepsi masyarakat ini demikian, kerana masa sudah berubah dan keadaan masyarakat pun sudah berubah, tetapi undang-undang Islam agaknya kita persepsikan mesti kekal dan tidak boleh berubah.

Sabtu, 22 Ogos 2009

'"Hidup Bagaikan Sungai Mengalir": Sejarah Alternatif

Tidak lama dahulu saya dihadiahkan oleh En.Chong Ton Sin, pengurus dan pemilik penerbitan SIRD dari Petaling Jaya sebuah buku yang bertajuk Hidup Bagaikan Sungai Mengalir yang ditulis oleh Agness Khoo.

Buku ini mengandungi kisah 16 orang wanita dalam Gerakan Anti-Jepun, Anti-Penjajah dan Kemerdekaan di Malaysia-Singapura, 1938-1989.

Buku ini terjemahan dari buku dalam bahasa Inggeris yang bertajuk Life as the River Flow yang diterbitkan juga dalam bahasa Cina dan bahasa Indonesia.

Kisah 16 orang wanita yang dipaparkan dalam buku ini menarik sekali, kerana ia mengungkapkan kisah orang biasa dan orang kecil yang dilupakan, dan tidak tercatat dalam buku-buku sejarah arus perdana.

Buku ini merupakan contoh bagaimana sejarah sesebuah negara patut ditulis mengikut perspektif aktor sejarah itu sendiri, walaupun mereka bukan orang besar atau orang ternama yang berkuasa.

Buku ini yang ditulis mengikut perspektif alternatif atau di luar arus perdana sangat menarik, dan wajar dibaca oleh peminat sejarah tanah air untuk mendapatkan pandangan dan gambaran yang lebih seimbang tentang perjuangan kemerdekaan di negara ini.

Salam Perkenalan

Selamat berjumpa dan berkenalan.Jemputlah berkunjung ke blog ini dan memberi komen.