Rabu, 16 September 2009

Mengapa hukuman syariah dianggap kejam?

Di negara kita ada hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah. Ada juga hukuman sebat bagi kesalahan jenayah yang tertentu. Akan tetapi, kita tidak mendengar hukuman seperti itu dikatakan zalim dan kejam.

Bagaimanapun, apabila sebuah mahkamah syariah menjatuhkan hukuman sebat kepada seorang wanita yang tertangkap ketika meminum arak baru-baru ini, ada suara yang menuduh bahawa "hukum Islam" itu adalah keras dan kejam.

Dalam perkembangan terbaru, di Aceh dikatakan telah diluluskan undang-undang yang menjatuhkan hukuman mati (rejam sampai mati) kepada orang-orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan hukuman sebat sehingga 400 kali kepada orang yang melakukan beberapa kesalahan lain seperti rogol, meminum arak, seks homoseksual dan berjudi.

Ketua Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Kemanusiaan (Komnas HAM), Ifdhal Kasim dengan cepat mengeluarkan kenyataan bahawa hukum syariah itu adalah "kejam dan menghina manusia".

Mengapa timbul perbezaan sikap masyarakat terhadap hukuman yang berasaskan undang-undang sivil dan undang-undang syariah ini?

Mengapa hukuman berdasarkan undang-undang sivil, walaupun keras, tetapi tidak dianggap kejam, tetapi hukuman berdasarkan hukum syariah dianggap kejam pula?

Saya kira antara sebabnya ialah masyarakat sudah mempersepsikan dan mengharapkan hukuman syariah sepatutnya lebih lembut dan lebih berperikemanusiaan.

Kalau hukuman undang-undang syariah menetapkan hukuman rejam sampai mati kepada orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan orang yang melakukan kesalahan lain dirotan sampai 400 kali sebatan, tentulah masyarakat abad dua puluh satu ini mempersepsikannya sebagai kejam dan menghina.

Persepsi masyarakat ini demikian, kerana masa sudah berubah dan keadaan masyarakat pun sudah berubah, tetapi undang-undang Islam agaknya kita persepsikan mesti kekal dan tidak boleh berubah.

1 ulasan:

  1. Harapan yang tidak masuk akal. Hukum syariat bukan milik mahkamah syariat. Hukum hudud tu daripada Tuhan, dan wajib dilaksana oleh pemerintah. Tuhan Maha Mengetahui yang mana lebih baik untuk umat manuasia.

    Baru sebahagian ia dilaksanakan, sudah bermacam-macam komen yang menentang hukuman tersebut.

    Ini kesan kurang kefahaman Islam dan berjayanya liberalsme dan sekularrisme meresap dalam pemikiran masyaraklat Malaysia sekarang.

    Andai takdir masyarakat gay berkembang dalam Malaysia, maka undang-undang pun kena gubal juga? supaya membenarkn golongan ini berkahwin sesama sendiri, ada akad nikah dsb???? seperti yang berlaku di Eropah???

    masyarakat sekarang tandus ilmu, akhlak dan akidah, dan lebih buruk orang-orang yg bukan ahli boleh memberi komen2 sewenang-wenangnya walaupun bercanggah dengan hukum.

    Kembalilah kepada Islam, satu-satu jalan yang benar.

    BalasPadam