Sabtu, 7 November 2009

Pemimpin muslimat menyokong bai'ah: manifestasi minda yang terjajah?

Kadang-kadang saya rasa tak percaya bagaimana seorang ADUN atau seorang Ahli Parlimen PAS sanggup melafazkan bai'ah atau sumpah bahawa dia akan tercerai dengan isterinya dengan talak tiga, sekiranya dia berhenti atau keluar dari parti politik tersbut.

Yang anehnya bai'ah itu dikatakan disediakan oleh Dewan Ulama PAS.

Akan tetapi, agaknya itulah yang terjadi apabila PAS mencampuradukkan agama dengan politik, dan memperalatkan agama demi kepentingan politik.

Jadi dalam hal ini isteri dan perkahwinan diperalatkan dan diperjudikan untuk kepentingan politik. Adakah itu satu perbuatan yang mulia, yang sesuai dilakukan oleh sebuah parti politik yang bernama parti Islam?

Bagaimanapun, yang lebih pelik lagi ialah pemimpin Dewan Muslimat PAS mempertahankan bai'ah yang jelas merendahkan dan menghina wanita dan perkahwinan itu.

Kata Nuridah Md.Salleh, Ketua Dewan Muslimat PAS, bai'yah itu diadakan demi memperteguhkan parti. Ikrar itu dikatakan satu istiqamah terhadap parti. "Bagaimana mereka kasihkan isteri, begitu juga mereka perlu kasih parti...sama kasihnya," katanya.

Naib Ketua Dewan Muslimat PAS, Senator Mumtaz Md.Nawi pula menyifatkan amalan tersebut menjadikan wakil rakyat PAS lebih menyayangi isteri serta tidak berani memungkiri janji yang mereka ikrar sendiri.

Kata beliau,"Ini pembelaan kepada wanita. Janji tetap janji.Apa pula pelik.Taklik kalau keluar pintu pun jatuh talak.Inikan pula keluar perjuangan Islam, lepas habis tempoh nak lompat, lompatlah."

Kata beliau seterusnya, semua wakil rakyat PAS memahami Islam dan mereka tidak ada masalah untuk memahami mengapa bai'ah itu dilakukan oleh parti.

Betulkah mereka memahami Islam? Begitukah Islam yang difahami oleh wakil rakyat PAS? Entahlah.

Hal yang aneh dan tak logik ini agaknya tak perlu diberi ulasan terlalu panjang.

Cukuplah saya katakan bahawa pendapat yang dikemukakan oleh pemimpin Dewan Muslimat PAS itu adalah menggambarkan minda wanita Islam yang masih terjajah, yang taat dan patuh membuta tuli kepada tindakan pemimpin lelaki PAS yang memperalatkan agama dan juga kaum wanita.

Mungkin tidak patut saya katakan mereka bodoh, tapi kalau tidak, apa yang patut saya katakan?