Khamis, 16 Februari 2012

Apakah yang hendak dihebohkan sangat tentang isu murtad?



Hasan Ali nampaknya masih menjaja cerita tentang mubaligh Kristian yang katanya memakai jubah dan bersembahyang zohor bersama-sama dengan orang Islam sebagai taktik untuk mendekati orang Islam.


Walaupun hal itu tidak mustahil berlaku, tetapi jika benar berlaku, ia mungkin merupakan kes terpencil saja.


Takkanlah mubaligh Kristian itu boleh melakukan taktik itu secara berterusan dan berleluasa. Jemaah masjid tentu akan tahu dan akan menghambat mubaligh Kristian itu.


Jadi saya tak fikir hal itu merupakan hal yang penting dan menarik untuk dijaja berulang kali.


Lagipun tak ada apa-apa keuntungan besar yang akan diperoleh oleh orang Kristian jika mereka dapat memurtadkan orang Islam.


Saya fikir mereka pun banyak kerja lain yang perlu dan boleh dibuat selain daripada memurtadkan orang Islam.


Apakah yang hendak dihebohkan sangat tentang isu murtad ni?

Selasa, 7 Februari 2012

Pemuda PAS ingin menjuarai kempen anti Hari Kekasih?



Mungkin tidak ada salahnya Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz mendesak kerajaan menjuarai kempen anti Hari Kekasih dengan alasan ia mempromosikan aktiviti tidak bermoral, di samping kononnya ada elemen Kristian.


Akan tetapi, saya kira kerajaan mempunyai banyak tugas lain yang lebih penting, dan tidak perlulah menjuarai kempen anti Hari Kekasih tersebut.


Soal moral sepatutnya boleh diselesaikan atau diatasi oleh umat Islam sendiri, dan tak perlulah sehingga dikempenkan oleh pihak kerajaan.


Lagipun sekiranya Pemuda PAS ingin memperjuangkan isu moral, saya kira banyak lagi isu moral lain yang lebih penting. Saya tidak fikir Hari Kekasih ini merupakan isu moral yang terlalu penting.


Bagi Pemuda PAS pula tidak adakah isu awam dan isu negara yang lebih penting untuk ditimbulkan dan diperjuangkan?


Isu Hari Kekasih saya kira hanya isu kecil dan remeh, dan mungkin tidak perlu jadi agenda perjuangan parti besar seperti PAS.


Ahad, 22 Januari 2012

Siapakah pejuang kemerdekaan?

Siapakah pejuang kemerdekaan? Bagi saya pejuang kemerdekaan ialah orang-orang yang berjuang menentang penjajah untuk melepaskan tanah air mereka dari cengkaman penjajah. Mereka boleh saja seorang nasionalis, seorang islamis, seorang sosialis atau seorang komunis.

Perjuangan mereka tentu saja berlandaskan ideologi yang menjadi anutan mereka. Kalau golongan sosialis misalnya yang berjaya mencapai kemerdekaan, negara merdeka yang mereka dirikan mungkin sekali sebuah negara sosialis.

Begitu pula jika golongan islamis yang berjaya yang mencapai kemerdekaan. Kita boleh menjangka negara merdeka yang mereka dirikan tentulah sebuah negara Islam.

Akan tetapi, di Malaysia yang berjaya mencapai kemerdekaan ialah golongan nasionalis kanan, yang pro-feudal dan pro-kapitalis.

Maka jadilah negara kita Malaysia seperti yang ada sekarang: sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen, mempunyai raja berperlembagaan dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis.

Memang boleh dijangka jika golongan komunis yang berjaya mencapai kemerdekaan, mereka akan menjadikan Malaya sebuah negara komunis. Akan tetapi, hal itu tidak berlaku atau tidak menjadi kenyataan dan perjuangan mereka sudah pun berakhir.

Bagaimanapun, sama ada komunis berjaya atau tidak dalam perjuangan mereka, jelaslah mereka juga telah memainkan peranan yang penting dan aktif dalam perjuangan kemerdekaan.

Rabu, 18 Januari 2012

Nabi Isa tidak wujud kerana tidak ada rekod?




Kata Prof.Khoo Kay Kim, Hang Tuah, Hang Li Po dll tidak wujud atau tidak pernah wujud, kerana tidak ada rekod.

Kalau begitu, bagaimana dengan kewujudan nabi-nabi seperti Nabi Adam, Nabi Musa, Nabi Isa dll?

Adakah mereka pun tidak wujud, kerana tidak ada rekod?

Tidak adakah cara lain untuk membuktikan kewujudan tokoh-tokoh penting dalam sejarah, selain bergantung kepada rekod?

Isnin, 9 Januari 2012

Perbezaan pendapat Dr.Juanda dan Datuk Nik Aziz

Saya selalunya tertarik dengan pendapat Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis yang rasional dan matang. Tapi pendapanya ketika mengulas tindakan PAS memecat Hasan Ali tidaklah demikian.

Beliau berkata, pemecatan drastik hanya boleh diterima berasaskan masalah disiplin serta kepentingan parti.

Jika betul begitu, mengapa Hasan Ali tidak boleh dipecat secara drastik?

Beliau mengatakan antara Hasan Ali dengan PAS hanya wujud "perbezaan pendapat". Saya kira ini tidak betul.

Hasan Ali menggunakan "media musuh" secara terbuka untuk menentang dasar dan strategi parti, di samping menghentam pemimpin PAS yang tidak sehaluan dengannya .

Yang ditentang oleh Hasan Ali ialah dasar parti yang sudahpun diputuskan dalam muktamar parti tersebut.

Tidakkah itu bermakna Hasan Ali menunjukkan seorang yang tidak berdisiplin dan tindak tinduknya memang akan menjejaskan kepentingan parti?

Jadi pemecatannya, walaupun secara drastik, saya kira adalah wajar.

Dalam hubungan ini, saya tertarik dengan pendapat Datuk Nik Aziz yang mengatakan, " ...keputusan memecat Datuk Dr.Hasan Mohamed Ali... adalah perkara lumrah dalam parti dan tiada parti yang akan berdiam diri jika ahlinya bertindak tidak senonoh" (Sinar Harian, 10/1/2012).

Pendapat Nik Aziz itu adalah pendapat seorang ahli politik dan tentang isu politik.Saya kira pendapat beliau betul.

Ahad, 8 Januari 2012

Kerjasama PAS dan DAP adalah satu "kemestian politik"

Shahnon Ahmad saya rasa jarang sekali ditemuramah oleh akhbar arus perdana pro-UMNO. Oleh itu, apabila tersiar temuramah Shahnon dengan Berita Minggu hari ini, 8/1/2012, nampak benar pendapat Shahnon yang disiarkan dalam akhbar itu ialah pendapat yang selari dengan selera UMNO.

Dalam temuramah itu, Shahnon menyifatkan kerjasama PAS dengan DAP dalam gabungan pembangkang bercanggah dengan amalan politik Islam yang diajar oleh Rasulullah SAW.

Kata beliau, Rasulullah tidak pernah bekerjasama dengan kaum Musyrikin Madinah, sebaliknya hanya mengikat kata sepakat melalui Perjanjian Hudaibiyah.

Oleh itu, dasar PAS sekarang langsung tak sama dengan amalan politik Rasulullah SAW bersama sahabatnya ketika membentuk Madinah.

Dan dengan itu, Shahnon menolak kerjasama antara PAS dengan DAP kerana ia tidak sama dengan pendekatan politik yang diambil oleh Rasulullah SAW.

Dalam hal ini, saya rasa Shahnon keliru, kerana politik adalah urusan dunia, bukan urusan ibadat khusus. Dalam urusan dunia, Rasulullah membolehkan umatnya mengambil tindakan apa saja, selagi tidak bercanggah dengan syariat, kerana dalam urusan dunia, merekalah yang lebih tahu.

Oleh itu, sebagaimana yang kita tahu, selepas berakhirnya zaman khalifah berempat, umat Islam mengamalkan sistem "politik beraja", di mana penggantian pemerintah dipilih mengikut dinasti. Ini tidak diamalkan oleh Rasulullah, tapi boleh diterima oleh ulama selepas beliau, dan terus diamalkan oleh beberapa negara Islam sehingga kini.

Di Malaysia kini kita mengamalkan sistem politik demokrasi, di mana pemerintah dipilih oleh rakyat, di samping mengekalkan raja berperlembagaan. Mengapa hal ini tidak dikatakan oleh Shahnon sebagai tidak mengikut ajaran Rasulullah SAW?

Bagaimanapun, yang lebih penting saya kira, kita mesti menerima realiti dan hakikat bahawa kita tinggal dalam sebuah masyarakat plural, di mana berkongsi kuasa itu sudah menjadi satu "kemestian politik".

Secara lebih khusus, PAS mesti bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP, jika ia ingin menawan Putrajaya dan menjadi pemerintah pada peringkat Pusat. Ini sama dengan apa yang dilakukan oleh UMNO, yang juga bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan parti bukan Islam.

Jadi dalam konteks semasa, sama ada mengikut ajaran Rasulullah SAW atau tidak, PAS tidak mempunyai pilihan lain, malah adalah satu kemestian, untuk bekerjasama dan berkongsi kuasa dengan DAP.

Kebetulan sebagaimana yang saya katakan di atas tadi, dalam urusan politik yang merupakan urusan dunia seperti ini, Rasululllah membolehkan umatnya melakukan apa saja yang terbaik bagi mereka.

Sabtu, 7 Januari 2012

Masalah murtad ialah masalah saudara baru

Program Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) yang diadakan di Seremban pada 7/1/2012 dikatakan telah berjaya mengenal pasti sebanyak 686 permohonan murtad daripada masyarakat Islam (?) di negara ini sehingga kini (Sinar Harian, 8/1/2012).

Maka Pengerusi HIMPUN, Azmi Abd.Hamid mengatakan isu tersebut menggambarkan bahawa isu murtad adalah isu besar yang perlu diberi perhatian dan ditangani oleh semua pihak.

Akan tetapi, selepas itu dikatakan bahawa "secara umumnya, permohonan (murtad) itu paling tinggi daripada saudara baru. Dalam kalangan umat Islam pula, gejala murtad banyak melibatkan golongan remaja berusia lingkungan 20-0n".

Bagi saya, jika permohonan murtad itu paling tinggi di kalangan saudara baru (mualaf), ini menunjukkan kegagalan dakwah kita dan usaha kita yang mungkin tidak berterusan untuk mentarbiahkan mereka.

Jadi jalan penyelesaiannya bukanlah dengan mengadakan Perhimpunan Sejuta Umat yang mungkin lebih banyak membuang masa dan tenaga sahaja.

Yang paling penting dilakukan sekarang ialah mengemaskan dan menambah-baikkan usaha dan strategi dakwah kita. Dan pada masa yang sama usaha mentarbiahkan golongan saudara baru itu mestilah ditingkatkan, kalaupun tidak mampu dilakukan secara berterusan.

Adalah tidak mencukupi jika mereka hanya diberi sedikit sebanyak pengetahuan Islam yang asas, atau mungkin diberi surat kebenaran untuk meminta derma selepas mereka memeluk agama Islam, tetapi selepas itu mereka dibiarkan begitu sahaja.

Tentang HIMPUN, saya pun tidak tahu, HIMPUN ini untuk apa dan ditujukan kepada siapa?













Jumaat, 6 Januari 2012

Unit khas Kristian untuk memurtadkan orang Melayu?




Saya tidak tahu sama ada saya perlu mempercayai atau tidak apabila Hasan Ali mengatakan sekarang pihak Kristian telah menubuhkan satu pasukan atau unit khas untuk memurtadkan orang Melayu.


Unit khas itu katanya disertai oleh sukarelawan dari seluruh dunia, terdiri daripada golongan bijak pandai, pakar psikologi dan mempunyai sokongan dana yang tak terhad. Hebat.


Ini cerita baru dan tentunya perlu pembuktian yang lebih konkrit, walaupun saya tidak mengatakan ini hanyalah cerita dongeng saja.


Walau bagaimanapun, setahu saya isu murtad di Malaysia kini lebih melibatkan golongan mualaf yang hendak kembali kepada agama asal mereka. Hal ini nampaknya tergantung begitu saja. Pihak yang bertanggungjawab tidak mampu berbuat apa-apa, selain memberi mereka kaunseling, atau menangguhkan permohonan mereka untuk keluar dari agama Islam (murtad).


Jadi inilah masalah yang perlu ditangani dengan lebih serius, kalau kita ada kemampuan.


Tentang orang Kristian hendak memurtadkan orang Melayu itu saya tak nampak itu masalah yang mendesak. Untung sangatkah orang Kristian kalau mereka dapat memurtadkan orang Melayu?


Mengapa kita takut sangat dan terlalu membesar-besarkan hal ini?
















Selasa, 3 Januari 2012

Isu madrasah yang dipolitikkan oleh puak UMNO

Nampaknya makin berlarutan isu yang berkaitan dengan rancangan kerajaan PAS Kedah hendak merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar, makin banyak pula timbul cerita kecelaruan dan kebodohan orang Melayu.

Kerajaan Kedah sudah menjelaskan, bahawa walaupun madrasah itu akan dirobohkan, tetapi ia akan diganti dengan surau baru yang lebih besar. Pampasan yang besar juga akan diberi kepada pihak yang berkenaan.

Jadi perobohan madrasah itu bukan saja tidak salah dari segi syarak, tetapi juga tidak merugikan mana-mana pihak.

Akan tetapi, puak-puak UMNO yang menjadikan isu perobohan surau itu sebagai isu politik nampaknya masih tidak berpuas hati.

Seorang ulama UMNO mencadangkan supaya mereka mengemukakan rayuan kepada Sultan Kedah supaya sultan agaknya akan berpihak kepada mereka dan turut menghalang perobohan madrasah itu.

Terakhir, PERKASA pula akan masuk campur dengan memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang kerajaan Kedah dari merobohkan madrasah tersebut.

Selepas ini apa pula?

Isnin, 2 Januari 2012

Mufti tidak berminat tentang isu semasa?

Saya fikir jika timbul sesuatu isu, memang wajar dan bagus sekali jika Mufti turut bersuara.

Saya mendapati pendapat atau ulasan Mufti Perlis dan bekas Mufti Perlis mengenai insiden yang berlaku di UPSI baru-baru ini memang sangat menarik dan menyegarkan.

Akan tetapi, sayang sekali kita tidak mendengar pendapat mufti lain yang lebih sepuluh orang itu.

Adakah mereka tidak prihatin tentang isu semasa dan hanya berminat memberi fatwa tentang isu agama yang dikemukakan kepada mereka?

Jika demikian, alangkah sempit dan terbatasnya peranan mereka!