Ahad, 30 Oktober 2011

Pemuda PAS nak jadi Taliban?

Pemuda PAS Pahang dikatakan ingin menghalang konsert rock Elton John yang akan pada 22 November 2011 ini dengan alasan ia "menggalakkan maksiat".

Tindakan Pemuda PAS Pahang ini memang boleh disamakan dengan tindakan Taliban, yang merupakan golongan pelampau Islam yang tidak matang, dan dengan itu, tindakan mereka mungkin tidak berfaedah. Sebab itulah Dr. Arsi mencadangkan supaya PAS menganjurkan aktiviti lain, misalnya membanyakkan seminar tentang pemerintahan Islam yang jelas lebih berfaedah.

Tindakan pemuda PAS Pahang ini kelihatan tidak selari dengan tindakan pimpinan PAS Pusat yang ingin menjadikan PAS sebuah parti yang tidak dilihat sebagai parti pelampau Islam dan boleh diterima oleh semua kaum, termasuk orang bukan Islam.

Dengan meniru tindakan Taliban, saya kira bukan saja orang bukan Islam akan menjauhi PAS dan tidak berminat dengan PAS, malah orang Melayu-Islam yang berfikiran rasional pun tidak akan menyokong parti itu.

Jumaat, 28 Oktober 2011

Wanita Tunisia tidak dipaksa memakai jilbab



Adalah satu perkara yang menarik bahawa Parti Islam Tunisia, Ennahda yang baru memenangi pilihan raya di negara itu mengumumkan bahawa kerajaan negara itu tidak akan memaksa kaum wanita memakai jilbab. Sebabnya dikatakan selama ini tindakan seperti itu di negara-negara Arab telah gagal.


Oleh itu, Rachid Ghonnuchi pemimpin parti itu menyatakan bahawa kaum wanita akan diterima bekerja dengan kerajaan sama ada mereka memakai jilbab atau tidak.

Rabu, 26 Oktober 2011

Golongan nasionalis punca murtad?



Kata Nik Aziz golongan nasionalis adalah punca murtad, kerana mereka tidak mahu melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini.

Ini barangkali pemikiran yang sangat simplistik, dan tidak dapat menyumbang kepada pemahaman kita bagaimana gejala murtad boleh berlaku di negara ini.

Sebenarnya negara kita pernah dijajah selama lebih 400 tahun dan selama itu tidak berada di bawah pemerintahan Islam, tetapi kita tidak dengar ada orang Melayu yang murtad pada masa itu.

Sekarang setelah kita merdeka, ada pendidikan Islam, ada pejabat dan majlis agama, ada JAKIM, ada IKIM, ada YADIM dll, dikatakan ada pula orang Islam yang telah murtad.

Kalau betul begitu, kita mesti buat kajian yang agak ilmiah mengapa gejala murtrad itu boleh berlaku; bukan membuat andaian yang lemah bahawa sebabnya ialah kerana golongan nasionalis tidak melaksanakan pemerintahan Islam.

Lagipun dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia, di mana umat Islam hanya kira-kira 60 peratus, saya tidak fikir, setakat yang dapat dijangka, pemerintahan Islam akan dapat dilaksanakan di negara ini.

PAS boleh berteriak hendak melaksanakan pemerintahan Islam. Akan tetapi itu barangkali hanyalah mimpi yang masih jauh, yang sukar sekali, kalaupun tidak mustahil, menjadi kenyataan.

Ahad, 23 Oktober 2011

Murtad bukan isu yang real?

Dari sekian banyak negara Islam, hanya di Malaysia barangkali isu murtad merupakan satu isu yang besar dan dibesar-besarkan. Saya katakan dibesar-besarkan, kerana saya rasa isu murtad ini bukanlah merupakan satu isu yang real.

Sebelum ini, seorang mufti yang terkenal pernah mengatakan berulang kali bahawa jumlah orang yang telah murtad di negara ini adalah besar sekali; lebih 250,000 orang. Tetapi kemudian beliau "senyap", kerana dakwaan itu agaknya tidak dapat dibuktikan.

Saya ingin mempercayai memang ada orang Islam yang telah murtad di negara ini. Akan tetapi, saya yakin yang ramai adalah dari kalangan mualaf (orang yang asalnya bukan Islam); bukan orang Melayu/Islam.

Sekarang yang dibesar-besarkan ialah kononnya ada usaha terancang oleh pihak Kristian untuk memurtadkan orang Islam. Ini mungkin benar, tapi buktinya tidak jelas, dan mungkin merupakan isu yang sengaja dibesar-besarkan juga.

Saya lebih yakin orang Islam (khasnya orang Melayu) di negara ini mempunyai iman yang kuat dan tidak mudah dimurtadkan.

Pengembang agama Kristian sudah datang ke negara ini sejak lebih 500 tahun yang lalu.Berapa orangkah orang Melayu yang telah dapat mereka kristiankan?

Mungkin benar pada masa ini orang Melayu sedang "berpecah" dan mungkin kuasa politik mereka tidak sekuat dulu. Tapi saya tidak fikir kerana itu orang bukan Islam ( orang Kristian tentunya) menjadi "berani" berusaha untuk memurtadkan orang Islam.

Jika usaha itu ada, saya tidak yakin ia akan berjaya. Apatah lagi perlembagaan negara kita memang tidak membolehkan mereka berbuat demikian.

Jadi membesar-besarkan isu murtad ini barangkali tidaklah banyak faedahnya.

Dan mungkin kerana itulah perhimpunan antimurtad tidak mendapat sambutan yang hangat, sebagaimana yang diharapkan oleh pihak penganjurnya.

Sabtu, 22 Oktober 2011

Hubungan seks secara kerohanian?



Adakah hubungan seks secara kerohanian? Entahlah. Tapi itulah agaknya apa yang hendak dipromosikan oleh Kelab Wanita Taat sebagai "seks Islam".


Tapi kalau kita lihat bagaimana Nabi "bersama" isterinya, hubungan seks itu pun berlaku secara fizikal. Tak tersebut pun Nabi melakukan hubungan seks secara kerohanian.


Jadi saya pun tidak tahu apa nikmatnya dan barakahnya hubungan seks secara kerohanian.


Agaknya ini satu lagi ajaran karut oleh bekas pengikut Arqam?






Orang Kristian hendak hapuskan agama Islam?

Sebagaimana orang Islam mahu dan suka orang yang beragama lain meninggalkan agama mereka dan masuk Islam, saya kira di kalangan orang Kristian pun ada kemahuan yang demikian.

Kalau boleh, mereka juga tentu mahu orang Islam murtad dan masuk Kristian. Tapi mereka tidak boleh berbuat demikian, kerana ada halangan dari segi perlembagaan.

Dengan itu, mungkin ada di antara mereka yang cuba "mendakwahkan" agama mereka dan berusaha memurtadkan orang Islam secara senyap, secara tidak langsung, tetapi secara terancang.

Tetapi adakah iman orang Islam begitu lemah sehingga mereka begitu mudah menjadi murtad? Saya tidak fikir begitu.

Orang Melayu yang sudah "masuk komunis" berpuluh tahun pun, tidak ada yang meninggalkan agama Islam. Apalagi jika orang Melayu yang sudah mendapat pendidikan agama sejak kecil. Kecualilah jika pendidikan agama yang diterima oleh anak-anak kita di sekolah rendah dan menengah selama ini tidak berkesan dan gagal.

Dan adalah tidak munasabah dan karut jika dikatakan orang Kristian hendak menghapuskan agama Islam di negara ini, atau menjadikan Kristian sebagai agama negara.

Ketakutan kita tentang gejala murtad pun barangkali tidak bertempat.Sebab setahu saya yang banyak murtad sekarang ialah orang yang dahulunya bukan Islam, dan hendak keluar (atau telah keluar?) dari agama Islam, setelah mereka masuk Islam untuk beberapa waktu.

Tapi adakah orang Melayu yang telah murtad dan masuk Kristian? Saya tidak pasti, kerana tidak pernah terbukti.

Khamis, 20 Oktober 2011

Rektor wanita yang lemah?



Sebagai seorang wanita saya bangga UIA mempunyai seorang rektor wanita.


Akan tetapi, apa yang dilakukan oleh UIA terhadap Prof.Aziz Bari baru-baru ini membuat saya merasa sedih dan terganggu.


Sepatutnya UIA berbangga mempunyai seorang pensyarah seperti Prof.Aziz yang berani memperjuangkan kebenaran dan keadilan. Tetapi rupanya tidak.


UIA bertindak menggantung perkhidmatan Prof.Aziz Baru , sedangkan beliau belum didakwa dan belum dibuktikan kesalahannya.


UIA mengambil tindakan drastik yang demikian mungkin kerana hendak mengampu pihak yang berkuasa sebagaimana yang dinyatakan oleh Dr.Asri.


Jika betul demikian, tindakan itu memang tidak bertamadun.


Inilah yang berlaku apabila UIA dipimpin oleh seorang rektor wanita yang lemah.


Ahad, 16 Oktober 2011

Binkan anak luar nikah kepada bapanya

Walaupun belum lagi dibincangkan dan diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, tetapi saya kira adalah satu perkembangan yang baik dan wajar disokong apabila Timbalan Pengarah Bahagian Kelahiran , Kematian dan Anak Angkat JPN, Noor Azliza Shaharuddin bersama Pegawai Undang-Undang JPN, Zarifah Zulghaffar menyatakan bahawa kini anak luar nikah boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapanya, walaupun anak itu lahir kurang daripada 6 bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Alasannya ialah supaya anak luar nikah itu tidak mengalami tekanan emosi yang berpanjangan dan terhukum kerana kesalahan yang tidak dilakukan oleh mereka, sekiranya nama bapa mereka tidak dinyatakan dalam surat kelahiran mereka.

Saya kira alasan itu sangat munasabah dan tindakan membinkan atau membintikan anak itu dengan bapa mereka memang wajar dilakukan.

Dengan tidak menyatakan nama bapa mereka dalam surat kelahiran mereka dan menganggap mereka sebagai anak "tak sah taraf" bererti masyarakat menghukum mereka dan tidak menerima mereka, malah memalukan mereka dan ibu bapanya sepanjang hayat.

Saya kira adalah satu perbuatan yang zalim dan tidak menyelesaikan masalah, sekiranya kita masih berpegang pada fatwa lama bahawa anak luar nikah itu tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa mereka.

Rabu, 12 Oktober 2011

Perlukah panduan seks cara Islam?

Penubuhan "Kelab Taat Suami" barangkali tidak salah, walaupun penubuhan kelab itu agak pelik sedikit. Terpulanglah kepada mana-mana wanita yang ingin menyertainya, walaupun saya tidak nampak kecerdikan mereka.

Sekarang khabarnya kelab itu telah menerbitkan buku panduan secara Islam. Memang Islam barangkali ada garis panduan untuk melakukan hubungan seks suami isteri. Ini pun sepatutnya tidak salah juga.

Tapi khabarnya yang agak mengarut ialah apabila buku itu, antara lain, menghuraikan hubungan seks antara roh (orang yang sudah mati) dengan para isterinya (termasuk yang masih hidup(?).

Kalau begitu, ini memang mengarut dan sungguh mengarut. Boleh dibaca, tapi janganlah dipercayai, apalagi dijadikan panduan.