Dari sekian banyak negara Islam, hanya di Malaysia barangkali isu murtad merupakan satu isu yang besar dan dibesar-besarkan. Saya katakan dibesar-besarkan, kerana saya rasa isu murtad ini bukanlah merupakan satu isu yang real.
Sebelum ini, seorang mufti yang terkenal pernah mengatakan berulang kali bahawa jumlah orang yang telah murtad di negara ini adalah besar sekali; lebih 250,000 orang. Tetapi kemudian beliau "senyap", kerana dakwaan itu agaknya tidak dapat dibuktikan.
Saya ingin mempercayai memang ada orang Islam yang telah murtad di negara ini. Akan tetapi, saya yakin yang ramai adalah dari kalangan mualaf (orang yang asalnya bukan Islam); bukan orang Melayu/Islam.
Sekarang yang dibesar-besarkan ialah kononnya ada usaha terancang oleh pihak Kristian untuk memurtadkan orang Islam. Ini mungkin benar, tapi buktinya tidak jelas, dan mungkin merupakan isu yang sengaja dibesar-besarkan juga.
Saya lebih yakin orang Islam (khasnya orang Melayu) di negara ini mempunyai iman yang kuat dan tidak mudah dimurtadkan.
Pengembang agama Kristian sudah datang ke negara ini sejak lebih 500 tahun yang lalu.Berapa orangkah orang Melayu yang telah dapat mereka kristiankan?
Mungkin benar pada masa ini orang Melayu sedang "berpecah" dan mungkin kuasa politik mereka tidak sekuat dulu. Tapi saya tidak fikir kerana itu orang bukan Islam ( orang Kristian tentunya) menjadi "berani" berusaha untuk memurtadkan orang Islam.
Jika usaha itu ada, saya tidak yakin ia akan berjaya. Apatah lagi perlembagaan negara kita memang tidak membolehkan mereka berbuat demikian.
Jadi membesar-besarkan isu murtad ini barangkali tidaklah banyak faedahnya.
Dan mungkin kerana itulah perhimpunan antimurtad tidak mendapat sambutan yang hangat, sebagaimana yang diharapkan oleh pihak penganjurnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan