Isnin, 28 September 2009

Indonesia tak malu rakyatnya menjadi pendatang haram?

Kini penggunaan pembantu rumah agaknya sudah merupakan satu kemestian bagi keluarga kelas menengah dan sebahagian kelas pekerja di Malaysia. Mereka memerlukan pembantu rumah kerana sebahagian besar para isteri sudah bekerja di luar rumah.

Selama ini sumber pembantu rumah yang utama ialah Indonesia dan Filipina. Bagaimanapun, kebanyakan pembantu rumah dari Indonesia lebih menjadi pilihan, kerana gaji yang perlu dibayar kepada mereka lebih murah berbanding dengan gaji untuk pembantu rumah dari Filipina.

Kini usaha membawa masuk pembantu rumah dari Indonesia menghadapi masalah kerana negara itu "membekukan" penghantaran pembantu rumah secara legal ke Malaysia dan meminta majikan di Malaysia membayar gaji yang lebih tinggi, iaitu minimum RM800 sebulan.

Walaupun Indonesia bertindak demikian untuk menjaga kepentingan rakyatnya, tapi tindakan itu sebenarnya tidak wajar kerana kaum wanita Indonesia yang sangat memerlukan pekerjaan akan datang juga ke Malaysia secara haram, dan pemerintah Indonesia tidak akan berupaya mencegahnya.

Sekarang pun pendatang haram Indonesia di Malaysia mungkin sudah lebih 2 juta orang. Semakin lama Indonesia membekukan penghantaran pembantu rumah secara legal, bererti akan bertambah ramai pula orang Indonesia yang akan memasuki Malaysia secara haram.

Saya tidak tahu adakah pemerintah Indonesia suka rakyatnya menjadi pendatang haram, yang jika sekali-kali kerajaan Malaysia bertindak, mereka akan ditangkap dan di kurung dan mungkin juga di rotan.

Sebenarnya adalah lebih bijaksana jika Indonesia membenarkan rakyatnya datang bekerja ke Malaysia sebagai pembantu rumah seperti pada masa yang lalu, walaupun gaji mereka tidak terlalu tinggi, dan dalam kemampuan majikan Malaysia untuk membayarnya.

Jika mereka datang sebagai pendatang haram dan bekerja secara haram, kebajikan pekerja Indonesia itu sebenarnya lebih tidak terjamin, kerana mereka lebih terdedah kepada eksploitasi majikan, di samping sewaktu-waktu menghadapi tindakan penangkapan dan pengusiran dari kerajaan Malaysia.

Jadi adalah untuk kepentingan bersama -- Indonesia dan Malaysia dan rakyat kedua-dua negara -- jika kemasukan pembantu rumah Indonesia itu "dicairkan" kembali.

Hanya negara yang tidak tahu malu barangkali yang membiarkan rakyatnya datang secara beramai-ramai sebagai pendatang haram untuk mencari makan di negara orang!

Jumaat, 18 September 2009

Perpaduan Melayu: serahkan kepada rakyat

Isu perpaduan Melayu nampaknya masih diperkatakan di blog-blog tertentu, walaupun formulanya tidak begitu jelas.

Kebanyakannya mencadangkan supaya PAS dan UMNO bersatu. Dengan perpaduan kedua-dua parti itu diandaikan kuasa politik Melayu akan kuat kembali.

Oleh kerana setakat ini pihak PAS tidak menunjukkan minat untuk berunding dan "bersatu" dengan UMNO, ada cadangan supaya raja-raja Melayu masuk campur dengan menitahkan pemimpin kedua-dua parti itu bertemu dan membincangkan perpaduan kedua-dua parti berkenaan.

Saya tidak pasti adakah cadangan seperti ini boleh dilaksanakan, kerana pada prinsipnya setahu saya raja-raja Melayu tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan politik.

Jika formula perpaduan Melayu itu belum begitu jelas, saya ingin mencadangkan supaya usaha mewujudkan perpaduan Melayu ini diserahkan kepada rakyat (khasnya orang Melayu), dan itu boleh dilakukan dalam pilihan raya yang akan datang.

Bagaimanakah caranya?

Majoriti orang Melayu mesti memberikan sokongan mereka kepada salah satu daripada dua parti Melayu yang terbesar itu.

Jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan mereka kepada UMNO, kita boleh mengharapkan UMNO akan kuat kembali dan boleh menjadi peneraju utama dalam BN seperti pada masa yang lalu.

Sebaliknya, jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan kepada PAS, bererti PAS akan menjadi parti yang terkuat dalam Pakatan Rakyat dan menjadi peneraju pakatan itu. Presiden PAS misalnya boleh menjadi PM, manakala pemimpin PAS yang lain memegang jawatan menteri kanan.

Adakah perkara seperti ini boleh berlaku? Kita serahkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya.

Rabu, 16 September 2009

Mengapa hukuman syariah dianggap kejam?

Di negara kita ada hukuman gantung sampai mati kepada pengedar dadah. Ada juga hukuman sebat bagi kesalahan jenayah yang tertentu. Akan tetapi, kita tidak mendengar hukuman seperti itu dikatakan zalim dan kejam.

Bagaimanapun, apabila sebuah mahkamah syariah menjatuhkan hukuman sebat kepada seorang wanita yang tertangkap ketika meminum arak baru-baru ini, ada suara yang menuduh bahawa "hukum Islam" itu adalah keras dan kejam.

Dalam perkembangan terbaru, di Aceh dikatakan telah diluluskan undang-undang yang menjatuhkan hukuman mati (rejam sampai mati) kepada orang-orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan hukuman sebat sehingga 400 kali kepada orang yang melakukan beberapa kesalahan lain seperti rogol, meminum arak, seks homoseksual dan berjudi.

Ketua Suruhanjaya Kebangsaan bagi Hak Asasi Kemanusiaan (Komnas HAM), Ifdhal Kasim dengan cepat mengeluarkan kenyataan bahawa hukum syariah itu adalah "kejam dan menghina manusia".

Mengapa timbul perbezaan sikap masyarakat terhadap hukuman yang berasaskan undang-undang sivil dan undang-undang syariah ini?

Mengapa hukuman berdasarkan undang-undang sivil, walaupun keras, tetapi tidak dianggap kejam, tetapi hukuman berdasarkan hukum syariah dianggap kejam pula?

Saya kira antara sebabnya ialah masyarakat sudah mempersepsikan dan mengharapkan hukuman syariah sepatutnya lebih lembut dan lebih berperikemanusiaan.

Kalau hukuman undang-undang syariah menetapkan hukuman rejam sampai mati kepada orang yang telah berkahwin yang melakukan kesalahan zina, dan orang yang melakukan kesalahan lain dirotan sampai 400 kali sebatan, tentulah masyarakat abad dua puluh satu ini mempersepsikannya sebagai kejam dan menghina.

Persepsi masyarakat ini demikian, kerana masa sudah berubah dan keadaan masyarakat pun sudah berubah, tetapi undang-undang Islam agaknya kita persepsikan mesti kekal dan tidak boleh berubah.