Isu perpaduan Melayu nampaknya masih diperkatakan di blog-blog tertentu, walaupun formulanya tidak begitu jelas.
Kebanyakannya mencadangkan supaya PAS dan UMNO bersatu. Dengan perpaduan kedua-dua parti itu diandaikan kuasa politik Melayu akan kuat kembali.
Oleh kerana setakat ini pihak PAS tidak menunjukkan minat untuk berunding dan "bersatu" dengan UMNO, ada cadangan supaya raja-raja Melayu masuk campur dengan menitahkan pemimpin kedua-dua parti itu bertemu dan membincangkan perpaduan kedua-dua parti berkenaan.
Saya tidak pasti adakah cadangan seperti ini boleh dilaksanakan, kerana pada prinsipnya setahu saya raja-raja Melayu tidak boleh campur tangan secara langsung dalam urusan politik.
Jika formula perpaduan Melayu itu belum begitu jelas, saya ingin mencadangkan supaya usaha mewujudkan perpaduan Melayu ini diserahkan kepada rakyat (khasnya orang Melayu), dan itu boleh dilakukan dalam pilihan raya yang akan datang.
Bagaimanakah caranya?
Majoriti orang Melayu mesti memberikan sokongan mereka kepada salah satu daripada dua parti Melayu yang terbesar itu.
Jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan mereka kepada UMNO, kita boleh mengharapkan UMNO akan kuat kembali dan boleh menjadi peneraju utama dalam BN seperti pada masa yang lalu.
Sebaliknya, jika majoriti orang Melayu memberikan sokongan kepada PAS, bererti PAS akan menjadi parti yang terkuat dalam Pakatan Rakyat dan menjadi peneraju pakatan itu. Presiden PAS misalnya boleh menjadi PM, manakala pemimpin PAS yang lain memegang jawatan menteri kanan.
Adakah perkara seperti ini boleh berlaku? Kita serahkanlah kepada rakyat untuk memutuskannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan