Jumaat, 25 November 2011

Menteri puji guru sertai pertandingan ratu cantik

Pada satu masa, mungkin kira-kira 40 tahun yang lalu, ada seorang wanita Melayu, seorang guru, menyertai pertandingan ratu cantik, Ratu Malaysia. Kalau tak salah dia dapat nombor 3.

Dia bukan saja tidak diambil apa-apa tindakan, malah dipuji oleh Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu.

Tidak pasti apa tanggapan masyarakat umum pada masa itu. Mungkin ada yang pro dan ada yang kontra. Tapi penentangan, jika ada, tidaklah sehebat mana.

Tapi itu dulu, ketika masyarakat bersikap lebih terbuka. Ketika itu, wanita Melayu, termasuk isteri ustaz dan pensyarah di maktab dan universiti, dan isteri pemimpin parti Islam pun belum lagi memakai tudung.

Kini tentu tidak boleh lagi, kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram seorang wanita Melayu/Islam menyertai pertandingan ratu cantik seperti itu.

Kerana itulah pihak berkuasa agama di Sarawak baru-baru ini telah memberi nasihat kepada beberapa orang gadis Melayu yang ingin menyertai pertandingan ratu cantik di negeri itu supaya menarik diri dari pertandingan itu.Pihak berkuasa agama hanya boleh memberi nasihat, kerana tidak ada akta yang melarang mereka menyertai pertandingan itu

Malangnya nasihat itu tidak dipedulikan. Jadi memang ada konflik nilai di sini, antara pihak gadis yang menganggap menyertai pertandingan ratu cantik itu sebagai sesuatu yang "tidak salah" atau wajar-wajar saja, dengan pihak berkuasa agama yang menganggap menyertai pertandingan ratu cantik itu adalah sesuatu yang "salah" dari segi moral dan agama.

Bagaimanakah cara penyelesaiannya? Pihak yang berkuasa agama di Sarawak dikatakan sedang mengkaji kemungkinan untuk menggubal akta yang akan melarang atau menyekat wanita Islam daripada menyertai pertandingan itu. Dengan adanya akta itu, pihak yang berkuasa agama barangkali bolehlah mengambil tindakan, mendenda atau memenjarakan gadis Melayu yang terus berdegil hendak menyertai pertandingan itu.

Tindakan yang akan diambil oleh pihak yang berkuasa agama di Sarawak itu tentu tidak salah dari segi pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan.

Akan tetapi, yang lebih baik lagi ialah jika kesedaran untuk tidak menyertai pertandingan ratu cantik itu timbul daripada dalam diri gadis itu sendiri. Ini barangkali, antara lain, bergantung juga kepada pendidikan yang telah mereka lalui dan persekitaran hidup mereka.

Dan untuk menyelesaikan konflik nilai ini bukanlah mudah, kecuali agaknya jika sistem politik, ekonomi dan kebudayaan kita berubah terlebih dahulu. Dengan perkataan lain, kita memerlukan perubahan kebudayaan atau cara hidup, bukan sekadar penggubalan akta baru.

Sabtu, 19 November 2011

Sosialisme di bumi gersang

Tahniah kepada Parti Sosialis Malaya (PSM) yang akan mengadakan forum tahunannya, Forum Sosialisma 2011, pada hari esok, 20 November 2011.

PSM bukan sahaja akan melangsungkan forum itu ketika kerajaan menggunakan komunisme dan sosialisme sebagai hantu untuk menyerang gerakan rakyat, tetapi juga ketika PSM bergerak di bumi yang sudah semakin gersang.

Hal ini demikian, kerana kini kelas petani miskin dan buruh kasar yang diharapkan boleh menjadi asas sosial parti itu sudah semakin berkurangan, sementara kelas menengah baru di negara ini sudah semakin membesar.

Kelas petani miskin dan buruh kasar, walaupun masih wujud, tetapi akan lebih bergantung kepada parti-parti perkauman, seperti UMNO. MCA dan MIC yang boleh memberi naungan kepada mereka.

Sebaliknya, kelas menengah baru, jika mereka berminat terhadap politik, akan lebih selesa menyokong parti perkauman juga, khasnya parti yang berkuasa.

Pada masa yang sama kelas borjuis dan borjuis kecil, seperti usahawan dan kontraktor yang semakin membesar dan banyak bergantung kepada projek kerajaan, akan lebih selesa menyokong BN yang sedang berkuasa juga.

Sementara itu, sekurang-kurangnya sebahagian yang agak besar daripada anggota kelas menengah Melayu melihat alternatif kepada kapitalisme ialah Islam, bukan sosislisme. Jadi kini mereka lebih berminat memberi sokongan kepada parti Islam, seperti PAS.

Dengan itu, masa depan parti sosialis seperti PSM (dan juga PRM) agaknya tidaklah begitu cerah, dan jalan yang akan mereka lalui bukanlah jalan lebar yang bertabur bunga.

Khamis, 17 November 2011

Tak salah orang bukan Islam beri daging korban

Kata Jamil Khir pengagihan daging korban oleh orang bukan Islam kepada orang Islam tidak salah dari segi hukum Islam.

Kalau tidak salah, mengapa hal itu dijadikan isu?

Lagipun, selama ini orang Islam ada memberi daging korban kepada orang bukan Islam. Ini dianggap baik dan tidak dijadikan isu oleh orang bukan Islam.

Jadi kalau orang bukan Islam pula memberi daging korban kepada orang Islam, bukankah itu perkara yang baik?

Lagipun kita adalah sebuah masyarakat pelbagai kaum dan agama. Sepatutnya orang Islam tidak perlu sensitif sangat dalam hal seperti ini.

Kalau sudah tak salah dari segi hukum Islam, OK-lah tu!

Selasa, 15 November 2011

Dr. Rohana wajar baca pandangan Suhaimi Said

Dr. Rohana Ariffin, Presiden PRM yang menegaskan partinya tetap mahu bertanding di tiga kawasan yang kini diwakili oleh PKR, saya kira wajar membaca pandangan Suhaimi Said, yang pada zaman mudanya pernah berjuang dalam PRM (atau ketika itu bernama PSRM) di Temerloh dan Pahang, dalam blognya "Semangat Lubuk Kawah".

Dalam pilihan raya yang akan datang, parti yang berjuang berdasarkan ideologi sosialis seperti PRM dan berada di luar BN, sepatutnya bergabung dengan parti pembangkang yang lain untuk mewujudkan satu barisan yang lebih kuat, yang boleh mengalahkan BN; bukan bertanding secara bersendirian.

Kebetulan kini sudah ada Pakatan Rakyat yang merupakan "gabungan" PAS, DAP dan PKR, yang merupakan penentang dan alternatif kepada BN. Sepatutnya PRM bersama pakatan tersebut dan tidak bertanding bersendirian.

Saya faham PRM mungkin mempunyai masalah dalam hubungannya dengan PKR yang terbentuk dari gabungan Parti Keadilan dengan pemimpin-pemimpin PRM yang mahu bergabung dengan parti tersebut.

Akan tetapi, bertanding di kawasan yang kini diwakili oleh PKR itu bukanlah caranya untuk mengatasi masalah tersebut.

Jika PRM sebuah parti yang berprinsip, dan tidak mementingkan ego pemimpinnya semata-mata, PRM tentu ada cara lain untuk mengatasi masalah hubungannya dengan PKR, dan bukan bertanding di kawasan yang kini diwakili oleh PKR, kecuali jika telah ada perundingan dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

Isnin, 14 November 2011

PRM bertanding untuk kalah?







Sejak ditubuhkan pada tahun 1955, PRM (asalnya bernama Partai Rakyat Malaya, kemudian bertukar menjadi Partai Sosialis Rakyat Malaya, dan akhinya Parti Rakyat Malaysia) sebenarnya tidak pernah menjadi parti yang agak besar dan berpengaruh.


Meskipun pernah dipimpin oleh dua orang tokoh intelektual (Kassim Ahmad dan Dr.Syed Husin Ali) dalam masa yang agak panjang, PRM terus wujud sebagai parti kecil yang cawangannya tidak banyak dan ahlinya pun tidak ramai.


Ini kerana Malaysia bukanlah bumi yang subur bagi parti sosialis seperti PRM, di mana parti perkauman seperti UMNO atau parti agama seperti PAS lebih mendapat sokongan dan dukungan daripada orang Melayu.


Sebagai parti berideologi sosialis dan bukan parti perkauman, keahlian PRM memang tidak terbatas kepada orang Melayu sahaja. Namun penyokongnya dari kalangan orang bukan Melayu juga tidaklah besar.


PRM mungkin dapat disamakan dengan Parti Sosialis Indonesia yang dipimpin oleh Sutan Syahrir, yang merupakan sebuah parti elit yang kecil dan kurang berpengaruh di kalangan rakyat terbanyak, walaupun ia dipimpin oleh tokoh yang berkalibar internasional.


PRM dapat bertahan lama, walaupun parti ini kalah berkali-kali dalam pilihan raya, kerana pemimpinnya adalah orang-orang yang kuat berpegang kepada prinsip dan ideologi dan sanggup berjuang dan berkorban bertahun-tahun demi mencapai matlamat yang mereka perjuangkan.


Namun, Dr.Husin Ali agaknya mengambil sikap yang realistik dan pragmatik apabila bersetuju PRM bergabung dengan Parti Keadilan dan membentuk PKR untuk meneruskan perjuangan dalam badan yang lebih besar dan lebih kuat.


Dan hasilnya agaknya tidaklah mengecewakan apabila PKR dapat memenangi sejumlah kerusi yang agak banyak juga dalam pilihan raya 2008.


Namun, ada pemimpin PRM yang tidak bersetuju PRM bergabung dengan Parti Keadilan. Kumpulan serpihan ini yang antara lain terdiri daripada Hassan Karim dan Dr.Rohana Ariffin mengambil alih pimpinan PRM yang kewujudannya masih diiktiraf oleh Pendaftar Pertubuhan. Dan sekarang PRM kembali dipimpin oleh seorang intelektual, apabila Dr.Rohana Ariffin, bekas pensyarah USM, dipilih menjadi presiden baru parti tersebut.


Ada satu perkembangan terbaru yang menarik tentang PRM, apabila presidennya Dr.Rohana menyatakan bahawa parti itu berminat bertanding di tiga kawasan Parlimen yang kini diwakili oleh PKR dalam pilihan raya yang akan datang, iaitu Balik Pulau, Selayang dan PJ Selatan.


Sebenarmya tiga kawasan itu adalah antara kawasan yang pernah ditandingi oleh PRM dalam beberapa pilihan raya yang lalu, walaupun tidak pernah menang. Jadi barangkali PRM merasa berhak bertanding di kawasan tradisinya itu.


Bagaimanapun, jika berlaku pertandingan tiga penjuru (BN, PKR dan PRM) di ketiga-tiga kawasan itu, saya besar kemungkinan BN akan dapat menawan kembali kawasan itu. Sokongan kepada parti pembangkang akan terpecah dua, kepada PKR dan PRM, dan besar kemungkinannya kedua-duanya akan kalah.


Jadi, jika PRM jadi bertanding di kawasan itu secara bersendirian, saya kira yang akan ketawa besar ialah BN. Adakah itu yang Dr.Rohana mahu?




























Sabtu, 12 November 2011

Keperluan kepada bahasa Inggeris sudah "kehendak zaman"?



Pihak yang mahu bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah agaknya sudah berpuas hati dengan kenyataan Menteri Pelajaran bahawa kedua subjek itu akan diajar sepenuhnya dalam bahasa Melayu mulai tahun 2016. Dengan itu, kini mereka berdiam diri.

Akan tetapi, bukan demikian pihak yang mahukan pelaksanaan PPSMI atau pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris diteruskan, bukan setakat tahun 2016 sahaja.

Terakhir kita dapat membaca laporan dalam Malaysiakini bahawa satu perhimpunan secara aman yang dihadiri oleh seramai 1,000 orang telah diadakan di Melaka untuk menyokong pelaksanaan PSSMI diteruskan. Jika dilihat dalam gambar yang dipaparkan, yang lebih ramai ialah orang Cina, walaupun dikatakan peserta perhimpunan itu berbilang bangsa.

Saya kira perhimpunan seperti ini akan timbul lagi di tempat lain, akan berterusan, mungkin dengan penyertaan yang lebih ramai, sehinggalah tuntutan mereka dipenuhi oleh kerajaan.

Apakah maknanya semua ini?

Saya kadang-kadang terfikir bahawa kemahuan kepada pengajaran dalam bahasa Inggeris dan sikap mementingkan bahasa Inggeris agaknya sudah merupakan "kehendak zaman".

Saya pun seorang yang menyokong bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu, dan kita sepatutnya membina tamadun kita melalui bahasa Melayu. Dan lebih dari itu, kita juga mesti mempertahankan jati diri kita.

Akan tetapi, ini hanyalah harapan dan impian seorang idealis, yang mungkin tidak realistik lagi pada masa kini.

Orang-orang yang bersikap realistik dan pragmatik terpaksa mengakui bahawa kita mesti mengutamakan bahasa Inggeris, kerana "nilai ekonomi" yang ada pada bahasa Inggeris, di samping kedudukannya sebagai bahasa ilmu dan bahasa perhubungan pada peringkat global.

Memang untuk jadi pandai kita boleh belajar melalui bahasa Melayu. Akan tetapi, orang yang lebih pandai dalam bahasa Inggeris akan lebih dipandang tinggi.

Dan selalunya bila memohon kerja di sektor swasta, temu duga akan dijalankan dalam bahasa Inggeris. Malah nak beli sayur dan ikan di supermarket pun kadang-kadang kena gunakan bahasa Inggeris!

Jadi ketika bahasa Melayu sudah tidak terpakai lagi, kita agaknya terpaksa bersikap realistik dan pragmatik -- kita pun mahu anak-anak kita belajar bahasa Inggeris dan pandai bahasa Inggeris.

Memang tidak dinafikan, bahasa Inggeris ada diajar di sekolah-sekolah kita dari Darjah 1 hingga Darjah 6 di sekolah rendah, dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah. Akan tetapi, entah di mana silapnya, sudah lebih setengah abad, anak-anak kita masih" tak pandai" juga dalam bahasa Inggeris!

Adakah kerajaan mampu mengatasi masalah ini dalam masa yang agak pendek? Kita tidak pasti.

Mungkin kerana itu ramai ibu bapa mahu PSSMI diteruskan, walaupun tentu ada masalahnya?

Khamis, 10 November 2011

Selamat menunaikan fardu haji

Mungkin ada yang tak kena dengan gambar ni?

Rabu, 9 November 2011

Anak luar nikah memang boleh dibinkan kepada bapanya

Alangkah malangnya anak luar nikah di negara ini. Sejak kira-kira satu dekad yang lalu mereka dianggap sebagai "anak tak sah taraf" dan tidak boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapanya. Ini berdasarkan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Dengan demikian, mereka terpaksa menanggung beban emosi dan terhukum kerana kesalahan ibu bapa mereka. Mereka telah didiskriminasikan dan dilebalkan dengan stigma yang tidak patut mereka tanggung.

Namun, baru-baru ini ada juga pihak-pihak yang tertentu -- pegawai JPN, sarjana dan ulama - yang bersimpati dengan nasib mereka dan mahu fatwa yang tidak membenarkan mereka dibinkan atau dibintikan kepada bapa mereka itu dikaji pula.

Paling menarik ialah kenyataan Dr.Juanda, Mufti Perlis bahwa negeri Perlis dengan persetujuan Raja Negeri itu sebenarnya telah mengeluarkan fatwa pada tahun 2007 dan 2008 yang lalu, bahawa anak luar nikah itu boleh dibinkan atau dibintikan kepada bapa mereka.

Dr.Juanda merujuk kepada Sahih al Bukhari yang Syarahnya ialah Kitab Fathul Bari karangan ulama mazhab Shafie yang terkemuka, Ibnu Hajar al Asqalani yang membenarkan hal tersebut.

Seorang ulama antarabangsa yang terkenal, Wahbah Zuhaili juga dikatakan berpendapat demikian.

Jadi mungkin sudah sampai masanya Majlis Fatwa Kebangsaan yang selama ini selalu berpegang kepada fatwa garis keras, mengubah pendirian mereka dan mengeluarkan fatwa baru yang lebih berperikemanusian dan lebih islamik.

Jumaat, 4 November 2011

PPSMI: Kerajaan terpaksa berundur dan mengalah

Setelah mendapat desakan yang kuat daripada pelbagai pihak supaya PPSMI diteruskan atau murid-murid diberi pilihan sama ada mahu belajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris, akhirnya kerajaan terpaksa juga berundur dan mengalah.

Walaupun Muhyiddin, Menteri Pelajaran mengatakan pemansuhan PPSMI adalah kekal, tetapi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik sepenuhnya dalam bahasa Melayu hanya akan dilaksanakan pada tahun 2016 di sekolah rendah dan pada tahun 2021 di sekolah menengah, bukan lebih awal daripada itu mengikut rancangan asal.

Dalam hal ini, saya kira kita patut maklum, tahun 2016 dan 2021 masih lama lagi, dan kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa itu.

Saya menjangka menjelang tahun 2016, desakan supaya kerajaan meneruskan PPSM1 akan terus dikemukakan oleh pihak-pihak yang berkenaan. Dan pada masa itu kita pun tidak pasti siapakah yang akan menjadi Menteri Pelajaran. Adakah Menteri Pelajaran ketika itu seorang yang tegas mahu melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu, atau seorang yang lebih lemah dan mudah tunduk kepada desakan dan tekanan.

Jadi saya tidaklah begitu yakin kerajaan akan mampu melaksanakan pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu dengan sepenuhnya pada tahun 2016 nanti.

Lagipun saya kira kini kemahuan dan keperluan kepada bahasa Inggeris sudah merupakan "semangat zaman".

Golongan yang mahukan bahasa Melayu dijadikan bahasa ilmu dan dengan itu akan dapat menyumbang kepada pembinaan tamadun melalui bahasa Melayu adalah golongan idealis.

Sebaliknya golongan yang mahukan bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah, yang mahukan murid-murid pandai berbahasa Inggeris dan menguasai bahasa Inggeris, sama ada dalam bidang pendidikan atau bidang kerjaya nanti, adalah orang-orang yang realistis dan pragmatis.

Dalam pertembungan antara golongan idealis dengan golongan realistis dan pragmatis ini, saya kira kemenangan mungkin sekali tidak berpihak pada golongan idealis.

Rabu, 2 November 2011

Islam masih gagal mengubah manusia?



Barangkali memang sudah merupakan cara hidup manusia zaman berzaman, khasnya sejak "zaman perhambaan", ketika wujud hamba di satu pihak, dan tuan hamba (pemilik hamba) di satu pihak lagi, peluang dan gaya hidup manusia memang sudah tidak sama lagi.

Manusia sudah terbahagi kepada beberapa kasta atau kelas, dan peluang hidup dan gaya hidup setiap kasta atau kelas itu memang terikat atau ditentukan oleh kedudukan kasta atau kelas masing-masing.

Demikianlah halnya peluang rakyat Malaysia untuk mengerjakan fardu haji.

Selama ini kita difahamkan peluang atau giliran untuk mengerjakan fardu haji ditentukan mengikut kuota. Siapa mendaftar dahulu, akan didahulukan. Ini memang sistem yang adil.

Akan tetapi, pada praktiknya sistem kuota ini hanya untuk orang biasa, orang kecil, orang tidak berpangkat, atau orang kelas bawahan. Orang besar, orang berpangkat, orang dari kelas atasan tidak terikat kepada sistem tersebut.

Sebab itulah kita lihat pada masa-masa tertentu, ada orang besar, orang berpangkat, orang dari "kasta Brahman" boleh pergi ke Mekah bila saja mereka mahu tanpa mengikut kuota.

Bukan itu saja, ketika berada di tanah suci pun mereka diberi layanan istimewa. Mereka diberi penginapan di hotel besar, mungkin berbintang enam. Ketika melakukan tawaf dan syai pula ada askar atau polis yang mengawal dan memberi kemudahan kepada mereka.

Saya tidak tahu adakah ketika Nabi mengerjakan ibadat haji dahulu baginda diberi keistimewaan dan dipisahkan dari rakyat biasa seperti itu.

Akan tetapi, kini ketika kita hidup dalam masyarakat yang berkelas dan berkasta-kata, tentu akan ada ulama prokerajaan yang akan memberi fatwa bahawa keistimewaan yang diberi kepada pembesar itu adalah perkara yang wajar saja. Jadi tidak perlu dipersoalkan dan harus diterima sebagaimana adanya, kerana memang sudah adat dunia sang pembesar diberi keistimewaan seperti itu.

Jadi begitulah dunia. Ketika mengerjakan ibadah haji dengan berpakaian ihram, yang seolah-olah menunjukkan persamaan di kalangan semua umat Islam pun, sistem berkelas atau berkasta-kata itu masih kelihatan. Islam agaknya masih gagal mengubah manusia?

Selasa, 1 November 2011

NGO Melayu dan "mentaliti kampungan"

Tidak ada salahnya NGO Melayu/Islam mengecam Program Seksualiti Merdeka yang telah bermula pada 1 November 2011, yang mereka anggap keji, tidak membawa faedah dan hanya menyumbang kepada keruntuhan akhlak masyarakat.

Akan tetapi, kecaman itu sebenarnya hanyalah membayangkan mentaliti orang-orang atau golongan yang masih bersifat kampungan, iaitu mentaliti yang dari segi sejarahnya lahir dari kehidupan dalam sebuah kampung kecil yang penduduknya bersifat homogen atau seragam dari segi adat, agama, nilai, tingkah laku dan sebagainya.

Dalam kehidupan kampung kecil yang demikian, memang semua orang mesti berpendapat, berpendirian dan bertingkah laku sama dengan orang lain; tidak boleh ada perbezaan sama sekali. Semua orang yang bersifat homogen itu pula mesti taat dan setia kepada ketua kampung mereka yang merupakan raja kecil, seperti orang-orang yang hidup pada zaman feudal.

Malangnya kini kita bukan hidup dalam masyarakat yang demikian. Kita hidup dalam sebuah masyarakat plural yang besar, yang berbeza dari segi bangsa, agama, adat, amalan budaya dan nilai hidup juga. Tidak kiralah siapa golongan majoriti dan siapa golongan minoriti, kerana semua mempunyai hak yang sama.

Dalam keadaan yang demikian, NGO Melayu/Islam itu sebenarnya tidak berhak memaksakan nilai dan kehendak mereka kepada golongan lain yang tidak sependirian dengan mereka. Mereka boleh berkokok di dalam kandang mereka, tetapi kecaman mereka tidak berkesan dan merupakan angin lalu saja.

Bagaimanapun, saya yakin golongan yang berperilaku menyimpang, yang mengamalkan hubungan sesama jenis seperti golongan gay itu, di mana-mana masyarakat pun, sama ada dahulu atau sekarang, merupakan golongan kecil sahaja.Ia tidak akan mempengaruhi golongan majoriti masyarakat yang ingin hidup dengan meneruskan amalan seks yang normal.

Jadi kebimbangan tentang kemungkinan merebaknya cara hidup golongan gay itupun agaknya tidaklah mempunyai asas yang kuat.