Pada satu masa, mungkin kira-kira 40 tahun yang lalu, ada seorang wanita Melayu, seorang guru, menyertai pertandingan ratu cantik, Ratu Malaysia. Kalau tak salah dia dapat nombor 3.
Dia bukan saja tidak diambil apa-apa tindakan, malah dipuji oleh Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia ketika itu.
Tidak pasti apa tanggapan masyarakat umum pada masa itu. Mungkin ada yang pro dan ada yang kontra. Tapi penentangan, jika ada, tidaklah sehebat mana.
Tapi itu dulu, ketika masyarakat bersikap lebih terbuka. Ketika itu, wanita Melayu, termasuk isteri ustaz dan pensyarah di maktab dan universiti, dan isteri pemimpin parti Islam pun belum lagi memakai tudung.
Kini tentu tidak boleh lagi, kerana Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengeluarkan fatwa bahawa adalah haram seorang wanita Melayu/Islam menyertai pertandingan ratu cantik seperti itu.
Kerana itulah pihak berkuasa agama di Sarawak baru-baru ini telah memberi nasihat kepada beberapa orang gadis Melayu yang ingin menyertai pertandingan ratu cantik di negeri itu supaya menarik diri dari pertandingan itu.Pihak berkuasa agama hanya boleh memberi nasihat, kerana tidak ada akta yang melarang mereka menyertai pertandingan itu
Malangnya nasihat itu tidak dipedulikan. Jadi memang ada konflik nilai di sini, antara pihak gadis yang menganggap menyertai pertandingan ratu cantik itu sebagai sesuatu yang "tidak salah" atau wajar-wajar saja, dengan pihak berkuasa agama yang menganggap menyertai pertandingan ratu cantik itu adalah sesuatu yang "salah" dari segi moral dan agama.
Bagaimanakah cara penyelesaiannya? Pihak yang berkuasa agama di Sarawak dikatakan sedang mengkaji kemungkinan untuk menggubal akta yang akan melarang atau menyekat wanita Islam daripada menyertai pertandingan itu. Dengan adanya akta itu, pihak yang berkuasa agama barangkali bolehlah mengambil tindakan, mendenda atau memenjarakan gadis Melayu yang terus berdegil hendak menyertai pertandingan itu.
Tindakan yang akan diambil oleh pihak yang berkuasa agama di Sarawak itu tentu tidak salah dari segi pentadbiran agama Islam di negeri berkenaan.
Akan tetapi, yang lebih baik lagi ialah jika kesedaran untuk tidak menyertai pertandingan ratu cantik itu timbul daripada dalam diri gadis itu sendiri. Ini barangkali, antara lain, bergantung juga kepada pendidikan yang telah mereka lalui dan persekitaran hidup mereka.
Dan untuk menyelesaikan konflik nilai ini bukanlah mudah, kecuali agaknya jika sistem politik, ekonomi dan kebudayaan kita berubah terlebih dahulu. Dengan perkataan lain, kita memerlukan perubahan kebudayaan atau cara hidup, bukan sekadar penggubalan akta baru.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan